Rentetan Peristiwa ( 6 Jun-21 Julai 1948 )
TARIKH
|
PERISTIWA
|
6 Jun
| Pesuruhjaya Tinggi mengumumkan tentang kejadian keganasan yang semakin berleluasa di ladang-ladang, lombong dan kilang yang dicetuskan oleh pihak komunis. |
12 Jun
| Tiga orang ketua Cina Kuomintang telah ditembak mati di rumah mereka di Johor oleh lima orang pengganas komunis. |
14 Jun
| Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu dalam satu sidang akhbar mengumumkan tentang peningkatan kejadian rusuhan oleh komunis yang melibatkan 10 kejadian pembunuhan dan 3 serangan ke atas pengurus ladang Eropah. |
15 Jun
| Pesuruhjaya Tinggi menemui wakil-wakil majikan dan ketua-ketua Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Penasihat Buruh untuk membincangkan pergolakan yang sedang berlaku. |
16 Jun
| Tiga orang peladang bangsa Eropah telah dibunuh di Perak oleh beberapa orang Cina yang bersenjata. Darurat telah diisytiharkan di beberapa daerah di Perak dan Johor. |
17 Jun
| Darurat diisytiharkan di seluruh negeri Perak dan Johor. Polis membuat beberapa serbuan di pejabat-pejabat Parti Komunis Malaya termasuk Ibu Pejabat Persatuan Bekas-bekas Anggota MPAJA. Peladang dan pekerja estet diberi perlindungan. 12 orang Cina bersenjata dan beruniform menyerang Balai Polis di Jeram Choh, Johor. |
21 Jun
| Polis membuat serbuan di seluruh negara dan 600 orang ditangkap. |
28 Jun
| Peraturan Darurat dikeluarkan yang membawa kepada penubuhan pasukan Konstabel Khas. 40 orang Cina bersenjata dan beruniform menyerang Balai Polis di Kuala Krau, Pahang. |
29 Jun
| Pengganas menyerbu pekan Jerantut, Pahang serta membakar Balai Polis dan merampas barangan di kedai-kedai. |
1 Julai
| Pegawai jajahan berbangsa Cina telah dibunuh di Langkap, Perak. |
5 Julai
| Polis dan tentera digabungkan bagi membenteras keganasan komunis. |
7 Julai
| Serangan udara dilancarkan ke atas khemah-khemah pengganas dalam hutan di Perak Utara. |
8 Julai
| Salah seorang ketua pengganas komunis, Tan Kan juga bekas ketua Kesatuan Buruh Johor ditembak mati dalam satu serangan balas di Johor. |
9 Julai
| Dua peladang berbangsa Eropah bersama seorang Melayu dan india telah terbunuh dalam satu serangan di Batu Sawah, Pahang. Pengganas turut menyerang Balai Polis di Langkap, Selatan Perak dan seorang konstabel terkorban. |
10 Julai
| Polis dan askar Gurka berjaya membunuh 4 pengganas komunis dan menawan 19 orang pengganas di Kuala Lumpur. |
12 Julai
| Pengganas beruniform merampas lombong arang batu di Batu Arang Selangor. 5 pekerja China dibunuh dan loji dimusnahkan.Mereka turut mengambilalih estet Senggang di Kuala Kangsar, Perak. Darurat diisytiharkan di seluruh negara. |
14 Julai
| 4 orang awam berbangsa Cina termasuk seorang wanita dibunuh di Ulu Yam, Selangor. |
15 Julai
| 3000 anggota polis tambahan dan ramai lagi konstabel khas telah direkrut. |
15 Jun
| Pesuruhjaya Tinggi menemui wakil-wakil majikan dan ketua-ketua Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Penasihat Buruh untuk membincangkan pergolakan yang sedang berlaku. |
16 Julai
| Lau Yew, ahli jawatankuasa Pusat Tentera PKM bersama 10 orang lagi telah terbunuh dalam satu serangan di Kajang Selangor. |
17 Julai
| 300 pengganas komunis telah menyerang Balai Polis Gua Musang, Kelantan. Seorang polis terbunuh dan 14 orang cedera. Pekan Gua Musang telah diduduki oleh pengganas selama beberapa hari. |
20 Julai
| Seorang tentera British dan 6 askar Melayu terbunuh manakala 3 cedera dalam satu serangan hendap di Gua Musang. Di Selangor, seorang guru besar sekolah Cina telah di bunuh. |
21 Julai
| Pengumuman mengenai pengenalan sistem pendaftaran negara. 2 keluarga bangsa Eropah telah dihalau dari kediaman mereka dan sebuah konvoi polis turut diserang. Beberapa bangunan dibakar dalam serangan ke atas 3 buah estet di Perak. |
Fahaman Komunis
di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1923. Beberapa sekolah malam telah
ditubuh dan digunakan untuk menyebarkan dakyah kebangsaan Cina serta
Komunisme. Di samping itu, pertubuhan-pertubuhan buruh Komunis telah
juga muncul pada tahun 1926. Pada tahun tersebut, di Negeri Sembilan
sahaja di mana terdapat ramai suku Hailam (suku Hailam dikatakan
pendokong utama fahaman Komunis), terdapat tidak kurang sepuluh
pertubuhan pekerja yang berkait rapat dengan pihak Komunis.
Perkembangan seterusnya telah membawa kepada penubuhan Parti Komunis
Malaya (PKM) pada April 1930 di atas arahan Pertubuhan Komunis
Antarabangsa (Communist International atau Comintern) yang dipengaruhi
oleh Rusia. PKM dikehendaki mendapatkan sokongan orang Melayu
(terutamanya kaum petani) dan orang India. Bagaimanapun PKM merasa
terdesak mendapatkan sokongan orang Cina kerana permusuhan di antara
negeri China dan Jepun semakin serius di antara tahun 1931-1937. Oleh
yang demikian, PKM cuba menjuarai kempen anti-Jepun di kalangan mereka
dan kurang memberi perhatian kepada dasarnya untuk mendapatkan sokongan
orang Melayu. Bagaimanapun PKM tetap meneruskan kegiatannya menghasut
kaum pekerja di ladang-ladang getah dan di bandar-bandar dengan
matlamat mewujudkan kegelisahan perindustrian. Sepanjang lewat 1930an,
pemogokan berlaku di merata tempat di samping rusuhan akibat kempen
anti-Jepun.
Pada
masa pendudukan tentera Jepun, kedudukan PKM menjadi lebih kuat kerana
permuafakatan mereka dengan pihak British untuk menentang Jepun.
Ahli-ahli PKM berpeluang mendapat latihan dan kemahiran dari segi
ketenteraan daripada pihak British. British menubuhkan Sekolah Latihan
Khas 101 di Singapura di bawah Kolonel Spencer Chapman untuk melatih
beberapa pegawai dan anggota PKM bagi menjalankan kerja-kerja sabotaj
dan penentangan terhadap tentera Jepun. PKM telah menghantar empat
kumpulan mengandungi 165 orang anggota dengan setiap kumpulan menjadi
teras kepada pasukan gerila di Selangor, Negeri Sembilan, Johor Utara
dan Johor Selatan.
PKM
mula mengatur strategi dengan menubuhkan Tentera Anti-Jepun Penduduk
Tanah Melayu (MPAJA). Dari empat kumpulan yang asal, tentera tersebut
berkembang menjadi lapan unit dengan tiap-tiap satunya menjalankan
gerakan di setiap negeri. Setiap unit ini berhubung dengan Jawatankuasa
Tentera Pusat PKM. Orang-orang Cina pula sentiasa bersedia memberikan
sokongan tenaga manusia, wang ringgit, makanan, bekalan dan maklumat
kepada MPAJA kerana bencikan layanan kasar askar-askar Jepun. SEAC
(Southeast Asia Command) yang menubuhkan Force 136 juga telah bersetuju
membekalkan alat-alat senjata, wang, bekalan dan pegawai-pegawai untuk
melatih orang-orang PKM menggunakan senajata-senjata baru. Sebagai
balasannya, MPAJA setuju memberikan kerjasama menentang Jepun. Pada
Julai 1945, sebanyak 3,500 senjata kecil, peluru dan 500 pegawai dan
anggota diberikan kepada MPAJA. Latihan juga dimulakan dengan
bersungguh-sungguh tetapi gerakan tidak pernah dijalankan. Jepun
menyerah kalah pada 16 Ogos 1945.
Dalam
tempoh dua minggu di antara masa Jepun menyerah kalah dan pihak
Tentera Berikat mendarat untuk menduduki semula Tanah Melayu, Bintang
Tiga /MPAJA mengambil kesempatan keluar dari hutan dan merampas
senjata-senjata Jepun dan Tentera Kebangsaan India. Mereka menguasai
Tanah Melayu seolah-olah rejim komunis telah berkuasa sepenuhnya.
Mereka menubuhkan 'Mahkamah Rakyat' dan menjatuhkan hukuman bunuh
sewenang-wenangnya. Pentadbiran Tentera British (BMA) yang ditubuhkan
pada 12 Disember 1945 terpaksa bertindak segera menghentikan aktiviti
MPAJA dan memaksa pasukan tentera tersebut dibubarkan.
Namun
begitu, semasa pemerintahan BMA, PKM tidak diharamkan. Kedudukannya
yang agak bebas berbanding masa sebelum perang, menggalakkan PKM
bergerak secara terbuka sebagai sebuah parti politik. Di antara tahun
1946 hingga awal 1948, PKM cuba memperkukuhkan kedudukannya dari segi
politik meskipun masih memberi perhatian utama kepada pergerakan buruh.
PKM cuba mempergunakan parti-parti radikal seperti Parti Kebangsaan
Melayu Malaya (PKMM), Malayan Democratic Union, Malayan Indian Congress
(MIC), Hizbul Muslimin dan Saberkas (Kedah). PKM juga memainkan
peranan penting dalam perjuangan PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat –
All Malaya Council of Joint Action) untuk mengagalkan gagasan politik
yang diperjuangkan oleh Raja-raja Melayu-UMNO-British. Dalam pada itu,
PKM juga menyebarkan dakyah dan pengaruh ideologi mereka ke dalam
persatuan-persatuan sekerja, belia dan penuntut-penuntut sekolah.
Mereka juga menjadi dalang dan penghasut kesatuan-kesatuan sekerja
untuk melancarkan mogok hampir di seluruh negara. Sehingga 1947, lebih
kurang 300 kes mogok berlaku dalam industri getah dan bijih timah.
Bagaimanapun
dengan lahirnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, PKM
menyedari perjuangannya melalui politik akan menemui kegagalan. Apabila
pucuk pimpinan PKM diambil alih oleh Chin Peng, PKM mula menukar
strategi dengan melancarkan gerakan-gerakan keganasan secara terbuka.
PKM menubuhkan pasukan tentera gerila yang dinamakan Tentera
Anti-British Penduduk Tanah Melayu (MPABA) untuk melancarkan
pemberontakan bersenjata dengan tujuan mewujudkan kawasan-kawasan bebas
(liberated areas). Beberapa buah unit yang ditubuhkan mula meresap ke
khemah-khemah di hutan, menjalani latihan serta memperlengkapkan diri
mereka dengan senjata-senjata. Bermula Jun 1948, mereka melakukan
keganasan dan pemberontakan dengan menyerang pekerja-pekerja estet dan
lombong, menebas beribu-ribu batang pokok getah, merosakkan jentera
lombong, membakar rumah pekerja, mengelincirkan keretapi dan membakar
bas-bas. Beberapa orang kontraktor buruh di ladang getah dan lombong
dibunuh termasuk pengurus-pengurus ladang bangsa Eropah. Gerakan ini
dilakukan untuk melumpuh dan membinasakan ekonomi kapitalis dan sistem
pertahanan British. Untuk mengawal keadaan huru-hara dan porak peranda
ini, kerajaan terpaksa mengisytiharkan Darurat pada 16 Jun 1948 di
Johor dan Perak. Darurat kemudian diisytiharkan bagi seluruh
Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1948. Berikutan pengisytiharan
darurat tersebut, PKM diharamkan.
Manakala
itu, PKM telah menubuhkan Min Yuen, pasukan bawah tanah untuk
menyelusup ke dalam masyarakat dengan tugas membekalkan gerila,
perubatan, makanan, wang dan maklumat serta membunuh agen-agen dan
pembelot. Orang-orang Asli juga dipaksa membantu mereka. PKM
kemudiannya menubuhkan Tentera Pembebasan Bangsa-bangsa Tanah Melayu
(Malayan Races Liberation Army) terutamanya untuk mendapat sokongan
orang-orang India dan Melayu. MRLA mempunyai 4,000 anggota dan dibahagi
kepada 10 rejimen yang berpengkalan di setiap negeri. Mereka melakukan
serangan hendap ke atas konvoi-konvoi bersenjata, menyerang
ladang-ladang, kampung-kampung dan balai-balai polis yang terpencil
serta membunuh ejen-ejen dan penyokong anti-Parti Komunis Malaya. Mereka
juga memperhebatkan kempen, propaganda dan ugutan untuk menarik
penyokong-penyokong ke dalam perjuangan mereka. Sir Henry Gurney,
Pesuruhjaya Tinggi British telah dibunuh pada Oktober 1951 dalam satu
serangan hendap oleh pengganas komunis.
Pembunuhan
Sir Henry Gurney telah merangsang gerakan drastik dan pelipatan kali
ganda kekuatan tentera di Tanah Melayu. Dalam menangani
kegiatan-kegiatan kejam, ganas dan subversif PKM, beberapa langkah dan
tindakan telah diambil oleh kerajaan. Pada bulan Mei 1950, Lt. Jeneral
Sir Harold Briggs selaku Pengarah Gerakan memperkenal dan melaksanakan
rancangan 'Kampung Baru' yang didirikan di atas tanah pemberian Sultan.
Melalui Rancangan Briggs (Briggs Plan) ini, setengah juta penduduk
kawasan-kawasan terpencil dikumpul dan ditempatkan di kampung-kampung
baru. Rancangan ini telah berjaya memutuskan bekalan makanan, senjata
dan rangkaian pengaruh di antara penduduk dengan pengganas komunis
(PKM). Walaupun PKM bertindak balas secara besar-besaran, kempen
Jeneral Sir Gerald Templer yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi
pada tahun 1952 telah berjaya memusnahkan 2/3 kekuatan PKM. Templer
telah melaksanakan kempen serampang dua mata iaitu peperangan terhadap
komunis dan peperangan terhadap fahaman perkauman. Perang Saraf
dilancarkan oleh Templer dari tahun 1952 hingga 1954 untuk mempengaruhi
dan memenangi hati dan minda komunis dan rakyat awam secara psikologi.
20 juta risalah digugurkan dari udara bagi menyeru anggota PKM
menyerah diri serta soal selidik dibuat dari rumah ke rumah untuk
mendapatkan maklumat berhubung aktiviti komunis. Pada tahun 1953,
operasi Kawasan Putih dan Kawasan Hitam diisytiharkan bagi memberi
kesedaran kepada rakyat agar tidak bekerjasama dengan komunis serta
mengekalkan kampung mereka bebas dari ancaman. Gerakan-gerakan sosial
seperti lawatan pegawai-pegawai tinggi British ke hospital, pembinaan
dewan orang ramai dan sebagainya telah menarik minat penduduk menyokong
kerajaan.
Keganasan
yang dilakukan oleh PKM juga telah mengurangkan sokongan penduduk
negara ini tambahan pula langkah-langkah kerajaan mengambil hati
masyarakat Cina dengan pemberian hak taraf kerakyatan serta memupuk
benih-benih semangat kenegaraan di kalangan penduduk Tanah Melayu telah
menyukarkan perjuangan PKM untuk mencapai matlamatnya. Rang
undang-undang Pindaan 1952 meningkatkan pemberian taraf kewarganegaraan
kepada orang Cina dari 10% kepada 55%. Usaha memperkenalkan kad
pengenalan diri untuk semua penduduk Tanah Melayu secara tidak langsung
mengagalkan cita-cita PKM untuk menakluki Tanah Melayu. Menjelang tahun
1953, PKM telah kehilangan 7,000 ahlinya. Chin Peng bersama beberapa
ketua rejimennya terpaksa berundur ke selatan Thailand.
Pada
9 September 1955, tanpa campurtangan British, kerajaan Perikatan telah
menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada anggota PKM dengan syarat
PKM meletakkan senjata. Susulan dari tawaran tersebut, satu rundingan
telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 di antara wakil Parti
Perikatan dan wakil PKM. YTM Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua
Menteri Persekutuan Tanah Melayu disertai oleh Dato' Sir Tan Cheng Lock
dan Sir David Marshall bertegas bahawa PKM mesti menyerahkan senjata
sebagai syarat perletakan senjata. Setiausaha Agung PKM, Chin Peng
tetap tidak mahu menerima syarat tersebut. PKM juga menolak tawaran
pengampunan beramai-ramai yang diberikan oleh YTM Tunku. Walaupun
rundingan tersebut gagal, namun PKM mengalami kekalahan siasah bila
mana kerajaan Perikatan kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf
PKM sebagai sebuah parti politik serta tidak menerima fahaman komunisme
di negara ini. Pada 1 September hingga 31 Disember 1957, sekali lagi
tawaran penyerahan diri kali kedua kepada PKM diisytiharkan oleh
kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Setelah
12 tahun berjuang, dengan 4,338 nyawa terkorban dari kalangan pasukan
keselamatan dan orang awam (1865 pasukan keselamatan dan 2473 orang
awam) serta 6,711 pengganas komunis, negara akhirnya mencapai
kemenangan. Chin Peng beserta 400 saki-baki pengikutnya tiada jalan
lain melainkan berundur ke selatan Thailand. Pada 29 Julai 1960, YTM
Tunku Abdul Rahman Putra menandatangani surat pengisytiharan tamat
darurat setebal 176 muka. Darurat secara rasminya diisytiharkan tamat
pada 30 Julai 1960. Ordinan Peraturan Darurat 1948 juga dimansuhkan.
Setelah
darurat tamat, pasukan keselamatan meneruskan operasi-operasi susulan
dengan bantuan Angkatan Tentera Diraja Thailand dan polis di sempadan
Malaysia-Thailand untuk menghapuskan saki baki kumpulan PKM yang
bergiat semula. Setelah 34 tahun selepas Rundingan Baling, PKM akhirnya
bersetuju mengadakan perjanjian damai. Kerajaan Thai menjadi orang
tengah dalam proses rundingan perdamaian yang diadakan di Hadyai,
Thailand. Pada 2 Disember 1989, perjanjian damai ditandatangani oleh
Malaysia dan PKM dengan PKM bersetuju meletak dan menyerahkan senjata
sepenuhnya serta menamatkan ancaman mereka di Tanah Melayu.
No comments:
Post a Comment