DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada
melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan
kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan
atau tidak mendapat maklumat yang cukup.
Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah
satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w
menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat.
Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah
dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam
(ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.
Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan
tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w
bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang
Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam
kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan
jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan
mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah
dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah
jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas
Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku
mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.
Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa
perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima
nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk
sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam.
Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta'
- surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang
dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah
jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah,
tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah
yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."
Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat
kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul
dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak
adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap
menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri
bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara
yang baik dan positif.
Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat.
Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri
sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada
terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan
permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat
menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus
terjalin.
Jangan jadikan nasihat sebagai satu
kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan
hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang
bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.
diambil dr artikel Taman2syurga/22.05.09/2.08pm
No comments:
Post a Comment