Wednesday, 28 December 2011

Dimana Nilai Sembahyang ?

Perlu dijelaskan bahawa sembahyang itu adalah tiang agama. Barang siapa mendirikan sembahyang, bererti dia telah menegakkan agama, iaitu agama Islam yang dianuti. Bererti orang yang meninggalkannya, tidak kira atas apa alasan, kecuali alasan syarak, dia telah merobohkan agama berkenaan.

Jika kita hendak meneliti, menilai seseorang insan yang beragama Islam, tidak kira lelaki atau perempuan, kita hendaklah melihat ibadah sembahyangnya. Kalau sembahyangnya elok, dilakukan seperti yang diwajibkan, maka amalan yang lainnya juga elok. Namun kalau sembahyangnya tidak elok, apatah lagi seseorang itu tidak sembahyang, maka peribadinya juga tidak elok.

Dikatakan demikian, ialah kerana apabila seseorang itu mati, yang mula-mula sekali ditanya oleh Allah ialah sembahyangnya. Sekiranya sembahyang yang dilakukan itu diterima Allah, maka amalannya yang lain, lebih-lebih lagi amalan yang melibatkan Rukun Islam akan menjadi elok. Sekiranya sembahyang yang dilakukan itu ditolak, maka amalan yang lain akan ditolak.

Sembahyang adalah wajib terhadap semua hamba, tidak kira siapa, sama ada dia seorang pencuci bangunan, seorang pemandu teksi, seorang pensyarah, seorang wakil rakyat atau penolong pengarah. Tidak ada yang terkecuali, semua orang wajib sembahyang, kerana ia adalah ibadah yang boleh mencegah seseorang itu dari melakukan kejahatan (fahsya’) dan kemungkaran.

Seseorang yang tidak menunaikan sembahyang berkemungkinan dia tidak dididik untuk melakukannya. Kedua-dua ibu bapa, kawan-kawan, jiran-jiran juga masyarakat tidak berupaya mendidiknya untuk bersembahyang. Bererti dari mula hidupnya tidak ada rangsangan luaran untuk melakukan sembahyang. Apabila ini berlaku, individu berkenaan akhirnya merasakan sembahyang itu tidak perlu, tidak ada rasa tanggungjawab, tidak sensitif dan otaknya tidak terfikir ke arah ibadah ini.

Manusia seperti inilah yang tidak ke masjid atau ke surau, biarpun rumah Allah itu di hadapan rumahnya, setiap kali azan berkumandang, menyelubungi ruang dalam dan luar rumahnya, tetapi tidak ada rasa sensitif langsung. Malah ada kalanya azan yang dilaungkan setiap subuh itu dirasa terlalu menganggu dan membingitkan telinganya.

Didikan awal perlu bermula dari rumah, yang mesti wujud atau dilakukan oleh ibu dan bapa. Namun apabila kedua-dua ibu bapa itu tidak mempunyai latar belakang agama, tidak memahami hukum-hukum agama, maka kesedaran untuk mendidik anak-anak tentang sembahyang dengan sendirinya tidak wujud. Generasi ini sekiranya dibiarkan, akhirnya akan melahirkan keturunan yang juga tidak sembahyang.

Kebanyakan ibu bapa yang tidak mempedulikan didikan agama lahir daripada mereka yang tidak dapat memikiri perlunya didikan agama. Atas latar belakang seumpama inilah maka masjid-masjid yang didirikan berjuta-juta ringgit sering tinggal kosong, hanya dihuni oleh orang-orang tua, orang-orang yang sudah pencen juga beberapa orang lain. Kelas-kelas agama diadakan setiap minggu, tetapi yang datang hanya beberapa kerat sahaja.

Masyarakat Islam sekarang ini sebenarnya berada dalam satu keadaan yang membimbangkan. Sudahlah ketinggalan dalam bidang ekonomi, dan banyak terlibat dalam masalah sosial, berlipat ganda nisbahnya berbanding dengan penganut agama lain.
Bilangan mereka yang terlibat dengan dadah dan HIV terlalu ramai dan monopoli berbanding dengan bangsa lain. Begitu juga dengan mereka yang terlibat dengan kegiatan merempit, meragut, membunuh, merogol beramai-ramai dan lain-lain jenayah termasuk mereka yang menerima rasuah.

Fenomena ini berlaku kerana sebab yang jelas. Mereka Islam, tetapi tidak melakukan sesuatu yang diajar oleh Islam, iaitu sembahyang lima waktu, sekiranya mereka ada sembahyang dan diterima oleh Allah jadilah mereka manusia yang baik serta tidak akan melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Sebahagian besar orang Islam membaca al-Quran tidak tahu maknanya atau kefahamannya. Begitu juga halnya ketika sembahyang sebahagian besar mereka yang bersembahyang tidak tahu makna termasuk dalam surah al-Fatihah. Biarpun disedari memahami makna al-Fatihah bukan satu syarat atau rukun sembahyang. Sekiranya seseorang itu berupaya memahami lafaz yang dibaca ketika sembahyang, maka itu adalah lebih baik.

Tanpa pemahaman agama, termasuk pemahaman terhadap keperluan sembahyang, maka orang yang sedar dirinya Islam tidak akan melakukan sembahyang, biarpun surau ada di tempat kerja.

No comments:

Post a Comment