Bismillahirrahmanirrahim
(Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.)
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.
Dan
kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka
berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus
berlaku.
Dan
(telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan
mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka,
sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh
Allah).
Dan
sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran),
sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu),
yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari
perbuatan kufur itu).
(Yang
demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala
peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang
ingkar).
Oleh
itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah
dihiraukan). (Ingatlah) masa (malaikat) penyeru menyeru (mereka pada
hari kiamat) kepada perkara yang tidak diingini (oleh orang yang
bersalah);
(Pada
saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana
ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.
Masing-masing
dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian),
orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar!
Sebelum
mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka
mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan
berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada
menjalankan dakwah agama).
Lalu
dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini
dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku
(terhadap mereka)!
Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.
Dan
Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu
bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang
telah ditetapkan.
Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku;
Yang
belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan
yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi
orang-orang yang kufur ingkar!
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda
yang menjadi pengajaran, maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf?
Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu.
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi
peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil
peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
(Demikian
juga) kaum Aad telah mendustakan Rasulnya (lalu mereka dibinasakan);
maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabku dan kesan amaran-amaranKu!
Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang, pada hari nahas yang berlanjutan; -
Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar.
Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan
pelajaran (daripadanya)?
(Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasul mereka, Nabi Soleh).
Lalu
mereka berkata: Patutkah kita menurut manusia dari jenis kita, lagi
yang berseorangan? Jika demikian, sesungguhnya kita berada dalam keadaan
sesat dan gila!
Tidaklah
patut wahyu peringatan itu diturunkan kepadanya (padahal orang-orang
yang lebih layak ada) di antara kita. Bahkan dialah seorang pendusta,
lagi sombong angkuh.
Mereka akan mengetahui kelak siapakah orangnya yang pendusta, lagi sombong angkuh itu.
Sesungguhnya
Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu
ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah
yang mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan
mereka).
Dan
khabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka)
terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu
dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).
(Mereka
selepas itu merasa bosan dengan keadaan unta itu dan berkira hendak
membunuhnya), lalu mereka memanggil kawan mereka (yang sanggup
membunuhnya), dia pun bertindak sampai dapat membunuhnya.
Maka perhatikanlah, bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
Sesungguhnya
Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu
menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang
pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan
pelajaran (daripadanya)?
(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh Rasulnya).
Sesungguhnya
Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani
mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka
(dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam,
Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur.
Dan
demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai
azab seksa Kami; dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran
itu.
Dan
demi sesungguhnya! Mereka telah memujuk Nabi Lut mengenai tetamunya,
lalu Kami hapuskan biji mata mereka, serta (dikatakan kepada mereka):
Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
Dan demi sesungguhnya! Mereka telah ditimpa azab yang kekal pada pagi-pagi hari (esoknya).
Lalu (dikatakan kepada mereka): Rasalah azabKu dan kesan amaran-amaranKu!
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan
pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan
pelajaran (daripadanya)?
Dan demi sesungguhnya! Firaun dan kaumnya telah didatangi (Rasul-rasul) pemberi amaran.
Mereka
telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya, lalu Kami timpakan
azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi
Maha Kuasa.
Adakah
orang-orang kafir kamu (wahai kaum musyrik Mekah), lebih baik
(kekuatan, kekayaan dan kehandalannya) daripada kaum-kaum kafir yang
tersebut itu? Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam
Kitab-kitab Suci tentang kebebasan kamu (dari azab)?
(Mereka
tidak mempunyai sebarang bukti) bahkan mereka akan berkata (dengan
angkuhnya): Kami satu kaum yang bersatu, yang sudah tentu dapat membela
diri!
Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.
(Bukan
kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan
kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab
seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.
Sesungguhnya
orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di
akhirat pula mereka berada dalam) api Neraka.
Semasa
mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka,
(serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka.
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).
Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.
Dan
demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama
keadaannya seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil
peringatan dan pelajaran?
Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal;
Dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatit.
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,
Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.
(diambil dr Pak Belang/19.12.11/8.30am)
(diambil dr Pak Belang/19.12.11/8.30am)
No comments:
Post a Comment